Keadaan di lokasi kejadian. – Ihsan Polis
PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun maut dalam satu kemalangan di Jalan Kobusak berhampiran Lido Plaza, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton mengesahkan kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 7 pagi.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan terjatuh ke dalam parit.
“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang dari arah Nosoob menuju ke lampu isyarat Kobusak dan dipercayai hilang kawalan berhampiran satu selekoh di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.
Menurut Sammy, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta sentiasa memandu dengan berhati-hati.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-809 5133.
































