Julita Majungki
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM4.5 juta bagi pelaksanaan Fasa 2 Skim Bantuan Kesihatan SMJ Sabah Sejahtera yang bakal memanfaatkan 2,219 pesakit buah pinggang di seluruh negeri bermula Mei ini.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, inisiatif ini dikhususkan bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan harian hemodialisis di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun di rumah, termasuk pembiayaan caj rawatan pakar.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Mengenai pembangunan infrastruktur kesihatan, Julita memaklumkan bahawa dokumen Anggaran Kerja Awalan (AKA) bagi projek menaik taraf Hospital Queen Elizabeth II sebagai Pusat Jantung Negara (PJN) Sabah kini sedang disediakan oleh pihak JKR Malaysia.
Setelah fasa AKA selesai, proses penilaian nilai (VA) dan kejuruteraan nilai (VE) akan melibatkan kerjasama pelbagai kementerian sebelum peruntukan kos muktamad diangkat ke Kementerian Ekonomi untuk kelulusan.
Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan pembinaan Pusat Pakar Pergigian Sabah di Kota Kinabalu telah siap sepenuhnya pada Disember 2025 dengan kos RM32.76 juta, bertindak sebagai pusat sehenti bagi kepakaran pergigian.
Kerajaan juga telah meluluskan peruntukan RM92 juta untuk pembinaan Pusat Darah Sabah (PDS) yang dijangka siap pada 2029, dengan kapasiti pengumpulan darah sehingga 120,000 unit setahun bagi keperluan Sabah, Labuan dan Limbang.
Bagi menangani isu kekurangan peralatan perubatan, perolehan dua mesin Magnetic Resonance Imaging (MRI) bernilai RM18 juta untuk Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Hospital Queen Elizabeth II kini dalam proses pelantikan pembekal.
Menjawab isu kos sara hidup, Julita menjelaskan bahawa Ops Tiris 4.0 telah diperkasakan bermula Mac 2026 melalui tiga kluster utama melibatkan KPDN, APMM dan PDRM bagi menjamin keterjaminan bekalan petroleum.
Tindakan tegas turut diambil melalui larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing yang berkuat kuasa 1 April 2026 bagi membendung ketirisan subsidi bahan api negara.
Menyentuh aspek kesejahteraan warga emas, beliau menyatakan Kompleks Warga Emas dan OKU Inanam yang menyediakan khidmat penjagaan berbayar serta latihan vokasional dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2026.
Selain itu, Rumah Warga Tua Kendiri Telupid yang mensasarkan warga emas sihat tanpa tempat tinggal telah pun siap dibina pada Mac 2026 sebagai persediaan Sabah memasuki era negeri menua.
Bagi kanak-kanak autisme, kementerian akan memperluaskan Pusat Autisme Sabah (PAUS) ke daerah Sandakan dan Beaufort setelah pusat di Sembulan dan Tawau mula beroperasi secara berperingkat sejak tahun lalu.
Mengenai keperluan bot ambulans di Klinik Kesihatan Karakit, Pulau Banggi, beliau memaklumkan projek tersebut kini dalam fasa tender dan dijangka diserahkan pada Disember 2026 sebelum beroperasi pada Januari 2027.
Julita turut mendedahkan nisbah doktor di Sabah ketika ini adalah 1:775 penduduk, namun mengakui negeri masih memerlukan tambahan 4,526 orang doktor lagi bagi mencapai sasaran nasional 1:400.




























