Armizan menyempurnakan majlis Kempen Turun Harga @ Bataras di Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Kerajaan mengalu-alukan pelaksanaan kempen penurunan harga barangan sebagai langkah proaktif dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd. Ali berkata, inisiatif tersebut selari dengan usaha Kerajaan dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan pada harga berpatutan, khususnya dalam situasi ketidaktentuan bekalan global susulan konflik di Asia Barat yang masih berlarutan.
“Kita alu-alukan kempen turun harga barang sebagai antara ikhtiar bersama dalam membantu meringankan kos perbelanjaan rakyat.
“Usaha murni seperti ini wajar dicontohi oleh lebih ramai pemain industri termasuk dalam sektor peruncitan sebagai manifestasi tanggungjawab bersama memelihara kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyempurnakan majlis Kempen Turun Harga @ Bataras, di sini, hari ini.
Armizan berkata, pelaksanaan kempen tersebut menepati pendekatan seluruh negara yang digerakkan kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup melalui kerjasama pelbagai pihak.
Kempen berkenaan melibatkan lebih 9,000 item barangan dengan tawaran diskaun antara tiga hingga 70 peratus daripada harga asal, sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk berbelanja secara lebih bijak dan berjimat.
Kempen ini berlangsung bermula 15 April hingga 30 Jun 2026 dan melibatkan semua cawangan Pasar Raya Bataras di seluruh Sabah.
Terdahulu, pihak Bataras turut menyampaikan sumbangan baucar membeli-belah bernilai RM100 kepada 100 penerima yang layak sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat.
Dalam perkembangan sama, Bataras merancang untuk membuka enam cawangan baharu di Keningau, Sipitang, Sandakan, Kinarut, Lahad Datu dan Sulaman bagi memperluas capaian perkhidmatan kepada rakyat.
Selain itu, syarikat berkenaan turut aktif dalam pelbagai misi kemanusiaan termasuk penyaluran bantuan makanan ke Gaza serta bantuan kepada mangsa bencana seperti banjir dan kebakaran di Sandakan.






























