Dr. Joachim yang mewakili Ketua Menteri, menyampaikan Anugerah Akademik Terbaik Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak kepada Siti Nur Hanisah Omar Hashim dari Kolej Vokasional Keningau, yang menerima sijil, plak dan wang tunai RM1,000.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM437.93 juta tahun ini bagi memperkasa pembangunan modal insan, merangkumi kecemerlangan akademik serta pembangunan rohani.
Beliau menegaskan Sabah akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan tenaga mahir sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.
“Ini merupakan platform terbaik untuk menggerakkan ekonomi Sabah ke arah aktiviti berasaskan nilai tinggi, pengetahuan dan kemahiran.
“Ia termasuk memberi keutamaan kepada program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi dan teknologi digital,” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-10 Kolej Vokasional di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Seramai 1,000 graduan Kolej Vokasional dari Zon Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menerima diploma masing-masing pada majlis tersebut.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada para pendidik kolej vokasional yang menjadi pemacu utama dalam memperkasa agenda TVET negara.
“Komitmen dan usaha gigih para pendidik memainkan peranan penting dalam memajukan masyarakat serta memastikan ketahanan dalam menghadapi cabaran global.
“Ini selaras dengan kepentingan TVET yang semakin meningkat, di mana ia bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya telah menjadi arus perdana dalam sistem pendidikan negara dan laluan utama bagi pelajar untuk berjaya dengan kemahiran yang memenuhi kehendak industri,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan permohonan ke kolej vokasional daripada 28,098 pada 2022 kepada 58,263 pada 2026, berbanding kapasiti pengambilan seramai 17,912 pelajar, jelas menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap pendidikan berasaskan kemahiran.
Merujuk kepada Laporan Future of Jobs 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF), Hajiji berkata, pasaran pekerjaan global sedang mengalami perubahan besar.
“Menjelang 2030, dianggarkan 170 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan, khususnya dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi hijau.
“Di peringkat domestik, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) memberi penekanan kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi.
“Ini bermakna negara memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dari segi teknikal, tetapi juga cekap digital serta peka terhadap kelestarian,” katanya.
Seiring dengan keperluan ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan ekosistem TVET yang lebih dinamik dan responsif menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035.
Hajiji menambah, Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan modal insan selaras dengan keperluan semasa.






























