Masidi (tengah) bersama Mustapha (lima dari kanan) dan rombongannya.
KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan yang lebih inklusif, mampan serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hubungan erat antara kedua-dua kerajaan merupakan kunci utama dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun dan berkesan.
Menurutnya, sinergi berterusan itu akan membolehkan lebih banyak manfaat disalurkan kepada rakyat di seluruh Sabah, selaras dengan keperluan pembangunan semasa.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud bersama rombongannya di pejabatnya di sini hari ini.
Dalam pertemuan itu, Masidi turut menegaskan bahawa pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah, kekal menjadi keutamaan Kkerajaan Negeri.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju bahawa pelaksanaan perkara tersebut perlu dipercepatkan bagi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan sepenuhnya.
Selain itu, beliau menekankan keperluan penyelarasan berterusan antara agensi Persekutuan dan Negeri supaya setiap keputusan yang dicapai dapat dilaksanakan dengan berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Masidi turut mengingatkan semua pihak agar sentiasa bersedia dalam mengurus ekonomi negeri, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.
Menurutnya, konflik antarabangsa, tekanan inflasi serta perubahan pasaran dunia berpotensi memberi kesan langsung kepada ekonomi tempatan sekiranya tidak ditangani dengan strategi yang tepat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkasa kedudukan ekonomi negeri perlu terus diberi perhatian bagi menjamin pembangunan yang seimbang dan konsisten.
“Kerajaan negeri perlu terus mengamalkan pendekatan berhemah dalam perbelanjaan serta memberi tumpuan kepada semua sektor bagi memastikan kestabilan ekonomi Sabah kekal terpelihara,” katanya.
Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik, khususnya dalam memastikan hak-hak Sabah terus terpelihara, di samping memacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam suasana global yang semakin mencabar.


































