Mohd. Nazri Abdullah
KOTA KINABALU: Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sabah, Datuk Mohd. Nazri Abdullah merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan ulang tahun ke-80 penyiar nasional itu pada 1 April lalu.
Beliau berkata, kejayaan RTM melangkah ke usia lapan dekad membuktikan keupayaannya kekal relevan sebagai medium utama penyebaran maklumat sahih, pendidikan dan hiburan kepada rakyat Malaysia sejak penubuhannya pada 1946.
“RTM bukan sekadar saluran penyiaran, sebaliknya institusi penting yang menjadi saksi serta perakam sejarah perjalanan negara, termasuk detik-detik signifikan pembentukan Malaysia.
“Tema ‘Teman Setia Anda’ amat bertepatan kerana RTM sentiasa bersama rakyat dalam menyampaikan informasi tepat serta menghubungkan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya hari ini.
Mohd. Nazri yang pernah bertugas di bangunan RTM Angkasapuri ketika era Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, peranan RTM semakin signifikan dalam era digital apabila penyiar itu berjaya menyesuaikan kandungan menerusi pelbagai platform termasuk televisyen, radio dan media sosial.
Beliau turut berkongsi kenangan sepanjang bersama RTM yang disifatkan amat bermakna, selain sentiasa mendoakan agar penyiar itu terus unggul serta kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Menurutnya, keupayaan RTM mengekalkan kredibiliti sebagai sumber berita sahih amat penting dalam mendepani cabaran penyebaran maklumat tidak tepat yang semakin berleluasa ketika ini.
“Saya yakin RTM akan terus menjadi wadah penyatuan rakyat serta pemangkin pembangunan minda masyarakat, khususnya dalam menyemarakkan semangat patriotisme dan jati diri nasional,” katanya.
































