Arthur (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada agensi yang terlibat menjayakan program itu.
RANAU: Kerajaan Negeri kekal komited dalam memperkukuh agenda kesihatan awam, namun kejayaan usaha itu memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhan.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pendekatan menyeluruh amat penting termasuk dalam usaha pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit seperti kanser.
Menurutnya, kanser merupakan antara penyumbang utama kepada kematian di Malaysia termasuk Sabah, dengan kebanyakan kes hanya dikesan pada peringkat lewat sehingga menjejaskan keberkesanan rawatan.
“Justeru, pendekatan proaktif melalui program seperti Jejak Kanser amat bertepatan pada masanya, khususnya dalam memberi penekanan kepada saringan awal serta pendidikan kesedaran kepada masyarakat,” katanya ketika melancarkan Program Jejak Kanser 2026 di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Arthur Sen.
Dr. Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, usaha turun padang seperti itu amat penting bagi memastikan masyarakat luar bandar tidak terpinggir daripada akses kepada maklumat dan perkhidmatan kesihatan.
Dalam pada itu, beliau menyeru lebih banyak pihak tampil menyokong program seumpama itu sama ada melalui sumbangan, kepakaran mahupun penglibatan secara langsung di lapangan.
Katanya, sokongan berterusan amat diperlukan bagi meningkatkan tahap kesedaran serta mengurangkan beban penyakit kanser dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, beliau berharap Program Jejak Kanser 2026 dapat mencapai objektifnya dalam memperluas akses kepada saringan awal serta memberi impak positif terhadap kesejahteraan rakyat di negeri ini.
Program berkenaan merangkumi pelbagai pengisian termasuk aktiviti saringan kesihatan dan pengesanan awal kanser, pameran serta pendidikan kesedaran kesihatan.
Turut diadakan ialah khidmat nasihat oleh pegawai perubatan dan sukarelawan serta penglibatan aktif komuniti setempat.
Majlis tersebut turut dihadiri pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan agensi serta barisan jawatankuasa Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS).































