Redonah Bahanda
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dengan tegas mengecam kenyataan Senator Filipina, Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan terhadap Sabah dikemukakan semula.
Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan bersifat provokatif, malah jelas menunjukkan kegagalan memahami realiti sejarah, prinsip undang-undang antarabangsa serta kedaulatan Malaysia yang telah lama diiktiraf dunia.
Menurut beliau, Sabah adalah wilayah berdaulat dalam Malaysia yang terbentuk berasaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan kedudukannya diperkukuh melalui kehendak rakyat Sabah sendiri yang secara sah dan demokratik memilih untuk bersama dalam Persekutuan Malaysia.
“Maka, sebarang cubaan untuk mempertikaikan perkara ini adalah tidak relevan, tidak berasas dan wajib ditolak sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Redonah menegaskan, kedudukan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dan tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.
Beliau berkata, sebarang usaha untuk menghidupkan semula tuntutan lapuk itu, termasuk cadangan rundingan berkaitan wilayah atau hasil bumi, hanyalah retorik dangkal yang bermotifkan kepentingan politik sempit.
Tambahnya, kenyataan berkenaan juga menimbulkan kebimbangan memandangkan ia timbul ketika dunia sedang berdepan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
“Ini menimbulkan persoalan sama ada terdapat agenda tersembunyi untuk mengeksploitasi kekayaan sumber asli Sabah, termasuk minyak dan gas,” katanya.
Menurut beliau lagi, tindakan sedemikian bukan sahaja tidak beretika, malah mencabar kedaulatan negara secara terbuka.
Sehubungan itu, katanya, Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk tuntutan terhadap Sabah dalam apa jua cara, sama ada melalui tekanan politik mahupun diplomatik.
Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam mempertahankan hak serta kedaulatan negeri daripada sebarang ancaman luar.
“Wanita Gagasan Rakyat berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memastikan kedaulatan Sabah terus dipertahankan tanpa kompromi,” katanya.
Dalam masa sama, Redonah menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Sabah, agar terus bersatu hati dan berpendirian tegas dalam menolak sebarang cubaan pihak luar yang ingin mencabar kedaulatan negeri ini.
“Sabah bukan untuk dipertikaikan. Sabah adalah milik Malaysia,” tegasnya.


































