PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memuktamadkan persiapan akhir bagi penguatkuasaan peluasan larangan pembelian dan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing, berkuat kuasa 1 April 2026.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu merupakan pengukuhan kepada kerangka perundangan sedia ada yang sebelum ini hanya meletakkan kesalahan kepada pengusaha stesen minyak.
“Mulai 1 April 2026, kesalahan ini akan turut mencakupi pemandu atau pemilik kenderaan berpendaftaran asing,” katanya.
Beliau berkata, penguatkuasaan tersebut adalah susulan keputusan yang telah dibentangkan di Parlimen pada 29 Januari lalu.
Menurutnya, bagi memastikan pematuhan serta menangani risiko ketirisan, khususnya di kawasan sempadan, agenda penguatkuasaan akan diperkasa melalui pelaksanaan Ops Tiris 4.0 secara bersepadu.
Armizan menegaskan bahawa KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan atau penyelewengan subsidi bahan api.
“Kegagalan mematuhi peraturan ini akan dikenakan tindakan tegas di bawah undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas kekal mencukupi dan stabil walaupun berdepan cabaran luaran termasuk konflik Asia Barat serta peningkatan kos logistik dan bahan pembungkusan.
“Melalui kerjasama erat antara Kerajaan dan industri, bekalan barangan keperluan asas yang diimport adalah mencukupi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pengusaha stesen minyak dan pengguna kenderaan asing supaya mematuhi larangan berkenaan, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan bagi membantu membanteras ketirisan subsidi bahan api.






























