Faisyal Diego
KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Api-Api menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan penstrukturan semula bahagian parti yang disifatkan mampu memperkukuhkan struktur organisasi serta meningkatkan kecekapan pentadbiran di semua peringkat.
Ketua Bahagiannya, Datuk Faisyal Diego berkata, cadangan menyusun semula bahagian daripada 73 bahagian kepada 25 bahagian merupakan satu langkah strategik bagi memperkemas penyelarasan kepimpinan serta memperkukuh organisasi parti.
Menurut beliau, langkah itu juga diyakini dapat meningkatkan keberkesanan gerak kerja parti khususnya di peringkat akar umbi.
“Cadangan ini dilihat sebagai satu pendekatan yang mampu mewujudkan struktur parti yang lebih tersusun, dinamik dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat serta cabaran landskap politik masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan Mesyuarat Bahagian Gagasan Rakyat Api-Api yang diadakan bersama Majlis Berbuka Puasa pada petang Isnin, 16 Mac lalu.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh beliau sendiri selaku Ketua Bahagian dan turut dihadiri oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian.
Dalam mesyuarat berkenaan, semua AJK Bahagian sebulat suara bersetuju serta menyokong cadangan penstrukturan semula bahagian parti sebagai langkah tepat bagi memperkukuhkan lagi organisasi parti.
Faisyal berkata, penyusunan semula itu dijangka membantu meningkatkan penyelarasan pentadbiran parti selain memperkemas struktur kepimpinan bagi menghadapi cabaran politik semasa.
Pada masa sama, beliau turut menzahirkan sokongan dan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor.
Menurutnya, kepimpinan Hajiji terus memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat di negeri ini.
“Di bawah kepimpinan beliau, Sabah terus bergerak ke arah kemajuan yang lebih mampan melalui pendekatan pentadbiran yang inklusif, stabil dan berorientasikan masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api menegaskan komitmen untuk terus bersama kepimpinan parti dalam memperkukuhkan perpaduan serta kestabilan politik di negeri ini.
Faisyal berkata, bahagian itu juga akan terus menyokong usaha memperkukuhkan organisasi parti demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau menambah, sokongan padu daripada semua peringkat kepimpinan dan ahli parti amat penting dalam memastikan usaha penstrukturan semula tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api berdiri teguh menyokong sepenuhnya usaha ini dan komited untuk terus bersama kepimpinan parti dalam memperkukuhkan perpaduan, kestabilan politik serta pembangunan negeri demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
































