Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Sabah untuk membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, sebagai generasi muda yang akan mewarisi masa depan negeri ini, usaha mempertahankan hak Sabah bukan sekadar isu politik semata-mata.
Menurutnya, perkara itu sebaliknya menyentuh soal keadilan serta penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan.
“Kami menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Negeri Sabah untuk membantah permohonan penangguhan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah.
“Sebagai generasi muda yang akan mewarisi masa depan negeri ini, kami berpandangan bahawa usaha mempertahankan hak Sabah bukanlah soal politik semata-mata, tetapi soal keadilan dan penghormatan terhadap semangat Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Azrul berkata Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah menunjukkan komitmen yang jelas dan konsisten dalam memastikan proses perundingan serta libat urus dengan Kerajaan Persekutuan berjalan secara profesional dan telus.
Katanya, pada masa sama Kerajaan Negeri juga tegas memastikan keputusan mahkamah dihormati serta dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Pendekatan matang dan berprinsip ini wajar disokong oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang politik kerana perkara ini melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya percaya sebarang usaha yang boleh melambatkan pelaksanaan keputusan mahkamah tidak akan membantu mempercepatkan penyelesaian isu berkenaan.
Sebaliknya, katanya, apa yang diperlukan ketika ini ialah komitmen bersama untuk mencapai penyelesaian yang adil dan munasabah, selain menghormati hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam kerangka Perlembagaan.
“Pemuda Gagasan Rakyat juga menyeru semua pihak di Sabah supaya bersatu dalam isu ini kerana hak Sabah adalah hak rakyat Sabah.
“Perjuangan ini harus dilihat sebagai usaha bersama demi memastikan masa depan negeri ini terus terpelihara,” katanya.
Azrul menegaskan Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama Kerajaan Negeri dalam mempertahankan hak serta kepentingan Sabah.
































