Julita menyampaikan sumbangan kepada para penerima yang diraikan pada majlis itu.
KOTA KINABALU: Seramai 61 anak yatim dan golongan asnaf diraikan dalam satu majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini kelmarin.
Majlis itu menghimpunkan kanak-kanak daripada beberapa institusi, sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi dengan pemimpin masyarakat serta merasai semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, usaha menyantuni anak yatim dan golongan rentan tidak seharusnya terhad kepada program bermusim sahaja.
“Kita tidak boleh hanya mengingati anak-anak ini pada bulan tertentu sahaja. Mereka adalah sebahagian daripada komuniti kita dan berhak menerima perhatian, sokongan serta peluang yang berterusan untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya pada majlis tersebut.
Julita berkata, Sabah mempunyai pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan bagi membantu golongan rentan, termasuk anak yatim dan mereka yang memerlukan.
“Saya percaya di Sabah, golongan ini tidak dipinggirkan kerana terdapat banyak program yang sedang dilaksanakan untuk membantu mereka,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terdapat ruang untuk memperluaskan lagi program yang memberi manfaat kepada kanak-kanak memerlukan.
“Walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan, masih ada ruang untuk memperkukuh dan memperluaskan program yang mendekati golongan ini, termasuk pelajar di madrasah, supaya mereka terus mendapat bimbingan, sokongan dan galakan,” tambahnya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki.


































