Kasim Muda
KOTA KINABALU: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes bunuh susulan penemuan beberapa bahagian anggota tubuh manusia di kawasan tempat pembuangan sampah Pekan Indah Permai, Menggatal pada 12 Februari 2026.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Kasim Muda berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pada 12 Februari 2026 kira-kira jam 4.30 petang, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu telah menjalankan operasi di kawasan Kampung Sri Kenangan, Sepanggar.
“Hasil maklumat saksi mendapati mangsa pernah dilihat berlari keluar dari sebuah rumah dalam keadaan cemas sebelum ditarik masuk semula oleh seorang lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan itu pada jam lebih kurang 8.10 malam hari yang sama, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama D7 dan D9 telah menahan seorang lelaki berumur 71 tahun di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu bagi membantu siasatan.
Seterusnya pada jam lebih kurang 10.30 malam, seorang lagi lelaki berumur 19 tahun turut ditahan di sebuah unit kediaman di Taman Seri Maju Apartment, Sepanggar kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian.
Menurutnya, turut dirampas dalam tangkapan tersebut ialah beberapa barangan termasuk telefon bimbit, pakaian dipercayai dipakai semasa kejadian serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail berwarna keemasan.
Kasim berkata, hasil soal siasat awal mendapati suspek utama mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dan menyatakan motif dipercayai berpunca daripada perselisihan hubungan peribadi serta tuntutan wang pertunangan.
“Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Beliau menegaskan polis memandang serius kes ini dan memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau mana-mana balai polis berhampiran.






























