Mandela menyaksikan penyampaian Anugerah Rekod ASEAN bagi Lontaran Muhibbah Yee Sang Terpanjang daripada Pengarah Eksekutif ASEAN Records, Eldrick Koh (kiri) kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Referral Group, Dr. Brandon Chin (kanan).
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, prinsip “Sabah First” terus menjadi teras kepada setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah sentiasa diutamakan.
Katanya, prinsip ini juga bertujuan memastikan hasil negeri diurus dengan bertanggungjawab serta peluang ekonomi diperluaskan secara adil kepada seluruh lapisan masyarakat.
“Oleh itu, menjadi harapan saya agar semua rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama, dapat bersama-sama menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 ini,” katanya pada acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini. Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Ketua Menteri berkata, tahun 2026 menandakan lembaran baharu buat negeri Sabah untuk terus melangkah ke hadapan apabila negeri ini memasuki fasa pembangunan baharu, selaras dengan berakhirnya Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17.
“Jika Pelan Pembangunan SMJ 1.0 merupakan fasa pemulihan, penyusunan semula dan penstabilan, maka Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan fasa lonjakan, iaitu lonjakan dari segi daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri,” katanya.
Menurutnya, kejayaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 telah memberikan keyakinan bahawa negeri ini berada pada landasan yang tepat.
Sehubungan itu, katanya, Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan kesinambungan yang menuntut perubahan berterusan bagi mempertingkatkan keupayaan, merangkumi perubahan cara berfikir, bekerja serta mencipta nilai baharu untuk rakyat.
“Hala Tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dilaksanakan bermula tahun ini sehingga 2030. Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai kerangka pembangunan menyeluruh yang menekankan perpaduan rakyat, kestabilan politik serta pembangunan yang inklusif dan mampan,” katanya.
Mengenai acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang, Hajiji berkata, ia bukan sekadar gabungan perayaan, tetapi merupakan manifestasi nilai saling menghormati, kebersamaan dan kasih sayang yang telah lama menjadi amalan hidup rakyat Sabah.
“Keharmonian inilah yang menjadikan Sabah sebuah negeri yang aman, stabil dan menjadi contoh, di mana rakyat pelbagai etnik dan kepercayaan hidup bersama dalam suasana saling memahami,” katanya.
Mengenai cubaan memecahkan rekod ASEAN bagi Yee Sang terpanjang sepanjang 1,500 meter, hari ini, beliau berkata, ia bukan sekadar pencapaian dari sudut angka atau ukuran fizikal, tetapi membawa makna yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negeri Sabah.
“Ia adalah simbol penyatuan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan, disatukan dalam satu niat dan tujuan yang sama, iaitu untuk membina dan memajukan negeri Sabah yang kita cintai bersama.
“Semoga acara ini dapat memupuk semangat kerjasama serta saling membantu yang melibatkan semua pihak, sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, usahawan serta orang awam, dalam menjayakan satu usaha yang bersejarah di peringkat ASEAN.
“Berteraskan semangat saling menghormati dan kepercayaan, hubungan ini menjadikan ASEAN rakan strategik penting bagi negeri Sabah dalam pelancongan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.






























