Dr. Joachim (enam dari kanan) bergambar bersama rombongan LDP.
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menerima kunjungan hormat kepimpinan tertinggi Parti Liberal Demokratik (LDP) di pejabatnya, di sini, kelmarin.
Rombongan LDP diketuai oleh Timbalan Presidennya, Datuk Yong Wui Chung. Turut hadir Setiausaha Agung LDP, Datuk Chin Shu Ying; Naib Presiden, David Ong, Sim Fui dan Jacky Chin; Ketua Biro Infrastruktur dan Utiliti LDP, Peggy Liow; Ketua Penerangan Pusat, Nicholas Ban; serta Ahli Majlis Tertinggi, Kelvin Chai.
Kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan jemputan rasmi kepada Dr. Joachim bagi menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran LDP yang dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.
Pertemuan itu turut menjadi platform perbincangan dan pertukaran pandangan mengenai isu-isu semasa berkaitan pembangunan serta penyelenggaraan infrastruktur, khususnya di kawasan sekitar Kota Kinabalu. Antara perkara dibincangkan ialah keperluan penambahbaikan kemudahan asas dan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem utiliti demi kesejahteraan rakyat.
Dr. Joachim yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), menyambut baik kunjungan berkenaan serta menghargai pandangan dan maklum balas yang dikemukakan, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama parti-parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Pertemuan berlangsung dalam suasana mesra dan konstruktif, mencerminkan semangat perpaduan serta kerjasama erat antara kepimpinan politik demi memastikan agenda pembangunan Sabah dapat dilaksanakan secara berkesan dan inklusif.
































