Keadaan motosikal dan motokar yang terlibat dalam kemalangan itu. – Ihsan PDRM
PUTATAN: Seorang penunggang motosikal lelaki tempatan berusia 49 tahun maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motokar di Jalan Kota Kinabalu–Papar, hadapan Kampung Petagas, Putatan, kira-kira jam 9.20 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Menurut beliau, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang mengesahkan kejadian kemalangan maut itu yang melibatkan sebuah motokar dan sebuah motosikal.
“Siasatan awal mendapati sebuah motokar telah dilanggar dari belakang oleh sebuah motosikal. Akibat daripada kesan pelanggaran tersebut, motosikal terbabit telah terbakar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sammy berkata, pemandu motokar yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Sammy menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan memandu dengan berhati-hati.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Penampang atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Amrin Mohamad Rif di talian 017-6638278,” katanya.


































