Hajiji (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Kagan semasa kunjungan hormat perpisahan di pejabatnya di Menara Kinabalu kelmarin.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.
Dalam pertemuan tersebut, Hajiji merakamkan penghargaan kepada Kagan atas khidmat bakti dan dedikasi beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya di Malaysia, khususnya dalam memperkukuh hubungan dua hala serta membantu mempromosikan Sabah di peringkat antarabangsa.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Edgard atas sumbangan serta kerjasama yang terjalin sepanjang perkhidmatannya di Malaysia, termasuk sokongan beliau dalam mengetengahkan keunikan dan potensi Sabah kepada komuniti global,” katanya.
Sementara itu, Kagan mengucapkan tahniah kepada Hajiji atas pelantikan semula beliau sebagai Ketua Menteri Sabah, sambil menyifatkan kepimpinan Hajiji sebagai penting bagi memastikan pembangunan dan kestabilan negeri terus terpelihara.






























