James dan Fadhlina semasa pertemuan mereka.
PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, Datuk James Ratib mengetuai delegasi KPSTI Sabah seramai 13 orang dalam kunjungan hormat rasmi ke atas Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek di pejabat beliau di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, serta Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Mohd. Azam Ahmad.
Pertemuan ini menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan dua hala antara Kerajaan Sabah dan KPM dalam usaha memperkasakan pembangunan pendidikan negeri.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk isu perjawatan, khususnya cadangan pengwujudan gred JUSA C untuk memperkemas pentadbiran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah. Cadangan ini dilihat signifikan bagi menyokong pengurusan pendidikan negeri yang semakin kompleks.
KPSTI Sabah turut menekankan keutamaan penyelenggaraan sekolah daif, khususnya Sekolah Daif Skala 6 dan 7, bagi memastikan murid belajar dalam persekitaran selamat, kondusif dan selesa.
Selain itu, perbincangan menyentuh penambahbaikan dan penelitian semula silibus mata pelajaran Sejarah, dengan tujuan memastikan sejarah Sabah diketengahkan secara lebih menyeluruh dan selaras dengan kepelbagaian latar belakang negeri.
Sejajar agenda pendigitalan pendidikan, KPSTI Sabah mengemukakan permohonan pembekalan Smart-Board secara terus kepada KPM untuk diagihkan ke sekolah-sekolah di Sabah.
James juga memaklumkan enam item utama yang dibincangkan untuk disalurkan ke sekolah, iaitu notebook, smartboard, charging cart, kemudahan Starlink, skrin LED, serta perluasan liputan internet. Inisiatif ini sejajar aspirasi Kerajaan Sabah untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran melalui teknologi.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik demi memastikan agenda pendidikan di Sabah terus diperkasa, selari dengan keperluan semasa dan masa depan generasi pelajar.
Sementara itu, KPM bersetuju untuk mengaktifkan semula perancangan pembinaan SMK Botition dan akan dimohon di dalam Rolling Plan 3 (RP3) kelak.






























