Jamawi (dua dari kanan), Riduan (kiri) dan Alexander (tengah) mendengar penerangan daripada pemilik Naluyan Lodge dan Tenom Coffee Villa, Gerald Baxter.
TENOM: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Kerja Tahun Melawat Daerah Tenom (MDT) 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia (TML), di Bilik Mesyuarat Padas, di sini hari ini.
Jamawi mendengar taklimat daripada ketua-ketua jabatan, manakala mesyuarat dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew.
Menurut beliau, mesyuarat itu bertujuan membincangkan hala tuju pelancongan daerah serta merangka pengisian program sempena Tahun Melawat Tenom.
Antara program yang dirancang ialah Pesta Bot Naga, Pesta Kopi Tenom Sabah, Pesta Kebudayaan Pedalaman Atas, Pesta Kalimaran, Program Hiking Tenom 2026 dan Tenom Campfest 2026.

Jamawi (lima dari kanan) menerima cendera mata daripada Yong.
Beliau berkata, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan bagi menarik kehadiran pelancong di samping mempromosikan produk dan tarikan pelancongan sedia ada di Tenom.
Jamawi turut merakamkan penghargaan serta mengucapkan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa yang terlibat, selain menyatakan sokongan penuh terhadap semua program yang dirancang.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tenom, Datuk Riduan Rubin, ketua-ketua jabatan serta wakil beberapa agensi kerajaan dan swasta.
“Semoga segala usaha mempromosikan Tenom sebagai destinasi kunjungan utama pada masa akan datang dipermudahkan,” katanya.
Dalam program berasingan, Jamawi menyantuni ahli -ahli Dewan Perniagaan Cina Tenom yang diketuai Pengerusinya, Datuk Yong Oi Kiong di Restoran Tenom Coffee Villa.


























