Chan bersama ahli jawatankuasa YPNM Sabah ketika kunjungan hormat kepada Dr. Joachim hari ini.
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas langkah proaktif dan perancangan strategik dalam memperkukuhkan kestabilan bekalan air dan elektrik di negeri ini.
Penghargaan itu dizahirkan susulan kunjungan hormat Pengerusi YPNM Sabah, David Chan bersama ahli jawatankuasa kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Dalam pertemuan tersebut, YPNM Sabah diberi taklimat mengenai beberapa inisiatif infrastruktur dan tenaga kritikal yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan daya tahan tenaga jangka panjang serta kemampanan bekalan elektrik Sabah.
Antara pencapaian utama ialah pelancaran Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) oleh Sabah Electricity berkapasiti antara 100MW hingga 400MWh, yang kini merupakan kemudahan BESS terbesar di Asia Tenggara.
Projek itu disifatkan sebagai mercu tanda penting dalam usaha menstabilkan grid elektrik Sabah, khususnya bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan di Pantai Timur dan kawasan pedalaman yang sebelum ini kerap mengalami gangguan.
YPNM Sabah percaya kerjasama erat antara Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity akan memberi manfaat besar kepada pengguna domestik serta sektor industri melalui pengurusan grid yang lebih cekap dan perancangan tenaga yang lebih mantap.
Dr. Joachim turut berkongsi mengenai penerokaan teknologi Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC) sebagai sebahagian daripada hala tuju tenaga boleh baharu Sabah, yang berpotensi menjadikan negeri ini perintis teknologi tenaga bersih generasi baharu di rantau ini.
Dalam masa sama, YPNM Sabah menegaskan kepentingan memastikan bekalan tenaga asas yang stabil dan kos efektif demi melindungi kebajikan pengguna serta daya saing industri.
Chan turut mencadangkan agar Sabah mempertimbangkan teknologi loji janakuasa arang batu bersih generasi baharu, dengan merujuk kepada pembangunan loji arang batu moden di Kalimantan sebagai contoh.
“Arang batu masih antara sumber tenaga paling menjimatkan dalam jangka panjang. Yang penting, Sabah perlu mengguna pakai teknologi arang batu bersih yang mesra alam dan mampu menjamin keselamatan tenaga,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dasar tenaga tidak wajar dipolitikkan, sebaliknya perlu berpaksikan kepada kemampanan, kemampuan kos dan kebolehpercayaan bekalan demi menyokong pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan ke Sabah.
YPNM Sabah akan terus komited bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, ECoS dan Sabah Electricity dalam memperjuangkan penyelesaian tenaga yang seimbang, bertanggungjawab dan bersedia menghadapi masa depan demi kepentingan rakyat Sabah.


































