Steve Johnny Mositun
KOTA KINABALU: Pihak berkuasa digesa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden tular di kawasan awam Tanjung Lipat yang melibatkan dua individu dirakam melakukan perlakuan tidak wajar di tempat awam.
Timbalan Presiden Kelab Komuniti Sayang Sabah, Steve Johnny Mositun berkata, insiden itu membimbangkan masyarakat kerana dilakukan secara terbuka tanpa menghiraukan norma sosial, adab dan sensitiviti awam.
“Tempat awam bukan ruang peribadi, dan Sabah tidak seharusnya menjadi pentas untuk menormalisasikan tingkah laku yang jelas bertentangan dengan adab, budaya serta nilai ketimuran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan kebebasan individu tidak boleh disalah tafsir sehingga menghakis maruah diri dan keharmonian masyarakat.
“Kebebasan bukan lesen untuk hilang maruah. Hak individu juga tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan sensitiviti masyarakat awam,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan secara adil dan terperinci serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang.
“Tindakan perlu dipertimbangkan bukan sahaja terhadap individu yang terlibat, tetapi juga pihak yang merakam dan menyebarkan rakaman tersebut sekiranya ia melanggar peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.
Steve turut mengingatkan bahawa sikap berdiam diri dan menganggap perkara seperti ini sebagai sesuatu yang biasa boleh membawa kepada kemerosotan nilai moral dalam jangka panjang.
“Jika hari ini kita menganggap perkara ini biasa, jangan terkejut apabila suatu hari nanti perkara yang sebelum ini dianggap luar biasa menjadi norma dalam masyarakat,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak supaya bersama-sama memelihara nilai akhlak, adab dan tanggungjawab sosial demi masa depan generasi akan datang.
“Menjaga Sabah bukan hanya tentang pembangunan fizikal, tetapi juga memelihara nilai dan maruah masyarakatnya,” katanya.

































