KOTA KINABALU: Beberapa jalan dan tempat letak kereta di kawasan Inanam akan ditutup sementara bermula 16 hingga 21 Disember ini bagi memberi laluan kepada penganjuran Inanam Christmas Celebration 2025.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memaklumkan penutupan itu melibatkan tempoh persiapan acara serta pelaksanaan program utama perayaan berkenaan.
Menurut DBKK, penutupan tempat letak kereta akan dilaksanakan mulai Selasa, 16 Disember 2025 jam 1 pagi hingga Ahad, 21 Disember 2025 jam 10 malam, melibatkan Lorong Inanam 3 serta kawasan bersebelahan Bataras Inanam bagi tujuan persiapan acara.
Sementara itu, sebahagian jalan di Lorong Inanam pula akan ditutup bermula Sabtu, 20 Disember 2025 hingga Ahad, 21 Disember 2025, dari jam 6 petang hingga 10 malam, sempena acara sebenar Inanam Christmas Celebration 2025.
DBKK menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota penguat kuasa yang bertugas sepanjang tempoh penutupan serta menggunakan laluan alternatif bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.
Orang awam juga diminta merancang perjalanan lebih awal khususnya mereka yang sering menggunakan laluan terlibat sepanjang tempoh berkenaan.
































