Hajiji (tiga dari kiri) bersama Masidi (tiga dari kanan) dan Dr. Mohd. Arifin menyaksikan penyerahan sumbangan daripada CIS kepada TPNS.
KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn. Bhd. (CIS) hari ini menyampaikan sumbangan sebanyak RM1.0 juta untuk Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Replika cek sumbangan tersebut telah diserahkan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pengerusi Bersama TPNS, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar dan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor, pada majlis ringkas di pejabat Ketua Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Turut hadir menyaksikan penyerahan cek tersebut adalah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif selaku Pengerusi TPNS dan Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd. Yusof.
Menurut Sumardi, sumbangan kepada TPNS merupakan usaha CIS sebagai sebuah syarikat Kerajaan Negeri (GLC) dalam mendokong inisiatif penting Kerajaan Negeri untuk melengkapkan anak-anak Sabah dengan pendidikan tinggi, disamping memperkasa sumber manusia Sabah sejajar dengan visi untuk melahirkan insan cemerlang dan berilmu.
































