KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan menganjurkan Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah bertempat di Padang Merdeka, di sini, bermula 16 hingga 19 Disember ini.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan itu berkata, buat julung kalinya, sambutan Krismas yang sebelum ini dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Sabah Council of Churches (SCC) telah diangkat sebagai sambutan di peringkat negeri.
Beliau berkata, penganjuran ini mencerminkan keterbukaan serta komitmen Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam menyokong sambutan perayaan keagamaan.
Sambutan ini akan dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Haji Aman pada 16 Disember 2025, manakala majlis penutupan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor pada 19 Disember 2025.
Tema sambutan tahun ini, “Pengharapan Damai Dalam Kasih” (Hope For Peace In Love), menekankan nilai perpaduan, keharmonian, kebersamaan dan saling menghormati dalam kalangan rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, selaras dengan wawasan Sabah First.
Selain pelbagai pengisian pentas, turut diadakan ialah Jamuan Rakyat yang melibatkan 100 usahawan daripada kalangan penjaja-penjaja tempatan yang akan menjadi pembekal pelbagai juadah jamuan sebagai sokongan Kerajaan kepada perusahaan mikro dan kecil.
Sehubungan itu, Ewon menjemput seluruh rakyat Sabah hadir memberi nilai dan makna kepada sambutan ini.
Maklumat lanjut mengenai atur cara sambutan boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Datuk Ewon Benedick dan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, DBKK serta Jabatan Penerangan Negeri Sabah.
































