Hajiji bersama Anwar serta pemimpin, penyokong dan orang ramai yang menghadiri program Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Lok Batik, Tuaran, hari ini.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengulangi pendiriannya mengenai kepentingan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menentukan masa depan Sabah.
Beliau berkata, banyak hasil boleh diperolehi oleh rakyat dan negeri dengan adanya hubungan baik ini, khususnya di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hajiji turut berkongsi pengalaman Kerajaan Negeri yang diwakili beliau dalam rundingan dengan Kerajaan Indonesia atas inisiatif Perdana Menteri yang membawanya serta Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, baru-baru ini.

Hajiji berbincang bersama Anwar pada program Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Lok Batik, Tuaran, hari ini.
“Satu lagi saya ingin kongsikan, apabila kita adakan rundingan dengan kerajaan Indonesia, Perdana Menteri jemput saya dan Premier Sarawak berjumpa Presiden Prabowo di Jakarta. Ini urusan negara, tapi ada kaitan dengan Sabah dan soal sempadan Kalimantan, jadi Perdana Menteri jemput kita untuk menyatakan pendirian kita kepada Prabowo.
“Tidak pernah berlaku sebelum ini. Ini bukan urusan kita, ia urusan luar negara, jadi kita senang hati juga dibawa naik jet bersama Perdana Menteri ke Jakarta, mana ada Perdana Menteri begini sebelum ini.
“Perdana Menteri suruh saya bercakap kepada Prabowo dan saya cakaplah, jadi hasilnya bagus. Inilah hasilnya apabila ada hubungan baik dengan Persekutuan dan ia mesti dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran bersama Perdana Menteri di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Lok Batik, di sini, hari ini.
Atas sebab itu, Hajiji menegaskan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah – Pakatan Harapan (GRS-PH) yang memerintah negeri sebelum ini mesti dikekalkan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17, Sabtu ini.

Hajiji bersama Anwar pada program Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Lok Batik, Tuaran, hari ini.
“Jadi saya berharap kita mesti kekalkan Kerajaan GRS-PH, yang lain itu pandai cakap saja, sikit-sikit mahu gaduh dengan Persekutuan. Apa mahu gaduh, kita mesti juga menjaga kepentingan negara. Jangan kita hanya fikir hak negeri, tapi negara kita runtuhkan, ada juga begitu di Sabah ini. Di Sabah ini ada macam-macam, malah 14 calon bertanding satu kerusi, itulah hebat Sabah ini.
“Ada yang tidak boleh menang pun jadi calon. Saya bukan menghina atau memperkecilkan rakan, tapi saya mahu beri ingatan jangan pilih mereka yang sudah diberi peluang mentadbir Sabah sebelum ini, mereka itu yang sebenarnya gagal,” kata Pengerusi GRS itu.
Hajiji menegaskan Kerajaan GRS-PH sebelum ini membuktikan keupayaan mentadbir dan mengurus Sabah selama lima tahun dengan kejayaan mengangkat ekonomi dan membangunkan negeri melalui hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0.
“Saya berharap rakyat di Sabah, terutama di Tuaran, jangan salah pilih kerajaan. Pilihlah kerajaan yang dapat membawa kemajuan dan pembangunan kepada rakyat dan negeri Sabah. Jangan pilih kerajaan yang sudah diberi peluang oleh rakyat Sabah dua tahun setengah, tapi mereka gagal mentadbir Sabah. Kerana itulah mereka ditolak pada pilihan raya lalu,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sulaman itu memberi jaminan bahawa empat kerusi ditandingi GRS di Tuaran iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu dapat dimenangi gabungan itu pada Sabtu ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang disifatkannya prihatin terhadap Sabah kerana hadir ke Tuaran untuk memberi kata-kata semangat menjelang hari mengundi PRU Sabah Ke-17 yang berbaki dua hari lagi.






























