Redonah Bahanda
BANDAU: Enam manifesto menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Datuk Redonah Bahanda, menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Beliau berkata, manifesto pertama memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat Bandau melalui pembangunan infrastruktur serta memperkukuh penyaluran bantuan kebajikan.
Menurut Redonah, manifesto kedua ialah memantapkan pertumbuhan ekonomi Bandau dengan fokus kepada perkembangan ekonomi setempat dan aktiviti perniagaan bagi meningkatkan pendapatan masyarakat.
Katanya, beliau juga akan menumpukan perhatian kepada penyelesaian isu pemilikan tanah secara lebih berkesan, termasuk mempercepatkan proses dokumentasi, mengurangkan birokrasi serta menangani masalah pertindihan permohonan.
“Bagi manifesto keempat, iaitu melestarikan budaya dan membentuk masyarakat Bandau yang harmoni, saya mahu memperkasa program seni, budaya dan warisan suku kaum yang terdapat di Bandau serta mempelbagaikan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Redonah menambah, golongan wanita dan belia turut diberi perhatian melalui program keusahawanan, bantuan dan latihan kemahiran serta pembangunan sosial yang lebih terancang.
Sementara itu, bagi manifesto terakhir, Redonah mahu mengangkat mutu pendidikan anak-anak Bandau.
“Menjamin masa depan generasi Bandau melalui pendidikan dan sukan berkualiti. Yayasan Pendidikan Anak Bandau akan diwujudkan bagi menyediakan biasiswa, bantuan kewangan sukan serta sokongan pembangunan bakat untuk melahirkan anak-anak Bandau yang berilmu, cergas dan kompetitif,” katanya.
































