Hajiji (duduk di hadapan, tengah) bersama sebahagian daripada 7,000 anggota perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah yang julung kali diadakan di SICC, hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa sokongan padu dan komitmen penjawat awam merupakan faktor utama kejayaan pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 sepanjang lima tahun beliau menerajui Kerajaan Negeri Sabah.
“Selama lima tahun saya menakhoda Kerajaan Negeri dengan sokongan dan dukungan penjawat awam negeri dan Persekutuan. Ia merupakan satu pengalaman yang luar biasa tetapi amat bermakna bagi saya.
“Sebelum ini saya hanya mengetuai sebuah kementerian, tetapi sejak lima tahun lalu, saya menakhoda sebuah kerajaan. Ia merupakan pengalaman yang sangat menarik dan akan saya kenang selama-lamanya,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Penjawat Awam Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menurutnya, perkhidmatan awam negeri dan Persekutuan di Sabah secara keseluruhan berfungsi dengan baik, walaupun berdepan pelbagai cabaran, tekanan dan ketidaktentuan.
“Lebih-lebih lagi di Sabah, kita pernah menghadapi ketidakstabilan politik, ancaman pandemik serta cabaran di luar kawalan seperti ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan iklim yang turut menjejaskan prestasi, peranan serta kehidupan seharian kita,” katanya.
“Semoga asas kukuh yang telah dibina menerusi Hala Tuju SMJ 1.0 terus diperkukuh bagi mencipta kejayaan lebih gemilang di bawah Hala Tuju SMJ 2.0 yang bakal dilaksanakan,” tambahnya.
Hajiji berkata, sepanjang tempoh lima tahun sebagai Ketua Menteri, beliau telah meninjau dan melawat semua kementerian termasuk jabatan dan agensi di bawahnya bagi memahami isu serta cabaran di peringkat pelaksanaan.
“Maklum balas dan aduan yang saya terima tidak semuanya positif. Sudah tentu ada wakil rakyat, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), ketua kampung dan pemimpin akar umbi yang kerap menyampaikan laporan.
“Sebab itu saya katakan, sepanjang lima tahun lalu ada perkara yang saya puas hati dan ada yang mengecewakan. Namun itu perkara biasa — sebagai ketua, kita sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada anggota di bawah kita,” katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan penganjuran konvensyen berskala besar bersempena sambutan Hari Kualiti Sedunia yang menghimpunkan penjawat awam negeri dan Persekutuan sebagai langkah tepat pada masanya serta amat dialu-alukan.
Beliau menyeru penjawat awam supaya sentiasa proaktif dalam memperkukuh modal insan dan kepakaran agar kekal relevan dengan tuntutan semasa abad ke-21 yang semakin mencabar dan berteknologi tinggi.
“Sebagai jentera kerajaan, penjawat awam merupakan tunjang sistem pentadbiran. Berpandukan prinsip etika dan integriti kerja, tugas mereka ialah menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat berasaskan prinsip ‘to serve the government of the day’.
“Oleh itu, hubungan baik dan akrab antara penjawat awam dan kepimpinan Kerajaan mesti terus dipelihara dan diperkukuh,” katanya.
Menurut beliau, hubungan harmoni itu penting bagi menjamin keteguhan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan berjalan lancar, berkesan dan berterusan demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Dalam konteks pembangunan modal insan, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri melalui kerangka Hala Tuju SMJ bukan sahaja menumpukan kepada pendidikan dan kemahiran, tetapi turut memperkukuh perkhidmatan awam negeri melalui pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bermula 1 Disember 2024.
Dengan unjuran tambahan perbelanjaan sebanyak RM150 juta, penjawat awam negeri akan menikmati kenaikan gaji secara berfasa antara tujuh hingga 15 peratus dari 2024 hingga 2026, bergantung kepada kumpulan perkhidmatan.
Beberapa bentuk bantuan khas turut diluluskan. Tahun ini, penjawat awam negeri menerima keseluruhan bantuan khas minimum RM4,000 — merangkumi sebulan gaji atau minimum RM3,000 pada Januari 2025, bantuan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 dan bantuan Pesta Kaamatan sebanyak RM500.
“Ini merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah pemberian bantuan khas kepada penjawat awam — manifestasi penghargaan Kerajaan terhadap komitmen tinggi mereka,” katanya.
Kerajaan turut memperkenalkan Insentif Percutian (i-Cuti) bagi menghargai penjawat awam yang telah berkhidmat selama dua dekad atau lebih menjelang 2024.
Setakat ini, seramai 7,872 pegawai Kumpulan Pelaksana, 824 pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta 61 pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi layak menerima insentif tersebut dengan unjuran kos keseluruhan RM17.7 juta.
Hajiji berkata, perkhidmatan awam negeri akan terus diperkasa apabila Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penaiktarafan 5,537 jawatan sementara dan kontrak kepada jawatan tetap secara berfasa.
Beliau turut menyentuh pengumuman Perdana Menteri ketika pembentangan Bajet Nasional 2026 pada Oktober lalu mengenai pemberian khas RM500 kepada penjawat awam Persekutuan yang akan diagihkan sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun hadapan.
“Insya-Allah, Kerajaan Negeri Sabah juga akan menyalurkan insentif serupa dalam Bajet Negeri 2026 — mungkin jumlahnya sedikit lebih tinggi, bergantung kepada kemampuan kewangan negeri.
“Mudah-mudahan Kerajaan ini beroleh mandat yang baharu daripada rakyat, supaya dapat kita pertimbangkan jumlah pemberian khas itu. Malah lebih penting lagi, supaya dapat kita meneruskan khidmat bakti demi kesinambungan segala program pembangunan yang sedang rancak berjalan sekarang, insya-Allah,” katanya.
































