Shahelmey Yahya
PUTATAN: Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, beliau masih mempertimbangkan segala kemungkinan dalam menghadapi perkembangan senario politik semasa.
Menyedari kemungkinan bakal disaman oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya bertanding atas tiket lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, beliau menegaskan masih ada ruang untuk membuat keputusan berhubung kedudukannya.
“Saya mengambil maklum terhadap perkara itu dan masih dalam proses mempertimbangkan kedudukan politik.
“Seperti yang saya katakan, dalam politik ini, tiga minggu adalah satu tempoh masa yang agak lama. Macam-macam boleh terjadi,” katanya ketika ditanya media mengenai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen BN yang kini berdepan tindakan undang-undang oleh parti tersebut.
Shahelmey berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan insentif kepada kontinjen Putatan yang memenangi pingat pada kejohanan Sabah Games (SAGA) di Pejabat Daerah Putatan, hari ini.
Baru-baru ini, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan bahawa Shahelmey dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Surady bakal berdepan tindakan saman berjumlah RM100 juta sekiranya mereka bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN nanti.
Untuk rekod, Shahelmey dan Andi yang masing-masing menyandang kerusi DUN Tanjung Keramat dan Tanjung Batu, telah digantung keahlian selama enam tahun oleh UMNO kerana tidak menyokong kepimpinan parti di peringkat negeri dalam episod Langkah Kinabalu pada tahun 2023.
































