Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan hantaran di media sosial yang menyiratkan bahawa Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor bertemu dengan Albert Tei bagi mengaitkannya dengan skandal perlombongan di negeri ini sebagai satu cubaan terancang untuk mencemarkan reputasi beliau.
Beliau berkata, sebagai Ketua Eksekutif Kerajaan Negeri, Hajiji sering berjumpa dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam kapasiti rasmi beliau.
“Pertemuan seperti itu adalah mesyuarat rasmi yang turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Ketua Menteri. Adalah tidak wajar untuk memutarbelitkan gambar atau fakta bagi menimbulkan persepsi negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizam berkata, individu di sebalik hantaran tersebut bersama Albert Tei jelas mempunyai niat jahat untuk mengaitkan Ketua Menteri dengan skandal perlombongan berkenaan melalui penyebaran gambar yang disalah tafsirkan.
Beliau menegaskan bahawa Ketua Menteri tidak pernah menafikan mengenali atau pernah bertemu dengan Albert, namun dakwaan yang disebarkan itu merupakan usaha mempolitikkan pertemuan biasa serta menimbulkan persepsi tidak benar dan tidak bertanggungjawab.
“Ketua Menteri telah bersikap telus dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh. Kerajaan Negeri juga memberi jaminan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada siasatan tersebut,” ujarnya.
Nizam menambah, segala tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang, bukan menerusi kempen fitnah di media sosial.
Sementara itu, beliau turut merujuk kepada laporan sebuah portal berita tempatan semalam yang memetik sumber mendakwa Albert merancang satu ‘aksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai berkaitan dengan kes rasuahnya yang dijadual disebut di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
“Amat jelas bahawa Albert sendiri memainkan peranan utama dalam mencetuskan drama persepsi ini. Beliau telah merancang langkah tersebut lebih awal — memasuki Sabah dengan alasan mahu berjumpa rakan, sedangkan beliau tidak menunjukkan surat panggilan mahkamah yang sepatutnya,” katanya.
Menurut Nizam, tindakan Albert itu merupakan muslihat terancang untuk menimbulkan kekeliruan serta menanam persepsi kononnya beliau dianiaya.
“Albert sengaja mencetuskan teori konspirasi kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan terhadap dirinya bagi meraih simpati awam. Ini bukan lagi tindakan individu teraniaya, tetapi satu operasi persepsi terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes dan siasatan terhadap dirinya sendiri,” tegasnya.


























