Dr. Ritchie bergambar kenangan bersama belia dan beliawanis di Tanjung Aru, kelmarin.
KOTA KINABALU: Pantai Tanjung Aru bertukar meriah dan penuh warna-warni apabila Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Aru menganjurkan Pertandingan Laga Layang-Layang dan Reka Bentuk Tercantik selama dua hari.
Golongan belia Tanjung Aru tampil dengan pelbagai idea kreatif dan rekaan layang-layang yang unik — membuktikan semangat komuniti serta daya cipta yang tinggi.
Ahli Jawatankuasa Gagasan Rakyat Tanjung Aru, Dr. Ritchie Jay Cheng berkata, program tersebut bukan sekadar pertandingan, tetapi juga satu usaha menghidupkan semula seni tradisi yang menjadi sebahagian daripada identiti rakyat Sabah.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor dalam mempertahankan hak negeri Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil negeri.
“Ini kemenangan rakyat Sabah — hasil perjuangan konsisten kerajaan negeri,” katanya.
Acara itu turut mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat dan dijangka menjadi antara tarikan tahunan baharu di Pantai Tanjung Aru.


































