Liew Yun Fah
KOTA KINABALU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah menegaskan beliau tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan berhubung hala tuju politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Menurutnya, sebarang keputusan akan dibuat selepas pucuk pimpinan parti dan kepimpinan tertinggi membuat keputusan rasmi mengenai kerjasama serta calon yang bakal diketengahkan.
“Saya rasa lebih baik kita tunggu keputusan rasmi dahulu. Pucuk pimpinan akan buat keputusan dan saya akan ikut. Saya tidak boleh mendahului mereka,” katanya ketika ditemui media di sini, kelmarin.
Liew berkata, beliau menghormati proses dan disiplin parti yang sentiasa mengutamakan keputusan secara kolektif serta berasaskan rundingan.
Katanya, perkara berkaitan calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai juga masih dalam peringkat perbincangan dan belum ada pengumuman rasmi daripada mana-mana pihak.
“Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud belum membuat sebarang pengumuman rasmi lagi,” ujarnya.
Beliau berkata, Mustapha juga mengesahkan masih menunggu keputusan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta perbincangan antara GRS bersama pucuk pimpinan PKR.
“Selepas keputusan itu dibuat, barulah saya akan tentukan hala tuju politik saya.
“Saya ini orang parti, jadi apa-apa mesti mendapat restu daripada pucuk pimpinan,” jelasnya.
Liew turut menjelaskan, sebagai ahli politik berpengalaman, beliau lebih selesa membuat keputusan berasaskan disiplin organisasi dan bukannya atas kehendak peribadi.
“Saya tidak bergerak atas nama individu. Saya ada parti dan saya hormati struktur serta kepimpinan yang telah diamanahkan,” katanya.
Menurut beliau lagi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menunjukkan teladan yang baik apabila mempunyai jawatankuasa khas untuk mengendalikan rundingan politik antara parti-parti komponen.
“GRS sangat berdisiplin dan mempunyai jawatankuasa yang diamanahkan untuk berunding.
“Jadi sebelum ada keputusan muktamad, saya tidak akan buat apa-apa keputusan,” tambahnya.
Dalam masa sama, Liew menegaskan bahawa PHRS bukanlah parti bermusim yang hanya aktif menjelang pilihan raya.
“Kami bukan tunggu musim penamaan calon baru bekerja. PHRS sudah bergerak sejak tiga tahun lalu lagi,” katanya.
Beliau menekankan bahawa perjuangan parti berasaskan semangat membela rakyat Sabah dan memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan.
“Yang penting, orang Sabah mesti bantu orang Sabah. Itu prinsip kami sejak dulu,” tegasnya.