Hajiji bersama presiden parti komponen GRS pada pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
KOTA KINABALU: Rundingan agihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) telah selesai dan kini hanya menunggu masa untuk diumumkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, walaupun terdapat beberapa kerusi yang masih dalam perbincangan, rundingan itu sudah berada pada peringkat hampir muktamad dan tidak akan menjejaskan persediaan menghadapi pilihan raya.
“Jangan risau, sebenarnya rundingan sudah selesai, cuma kita belum boleh umum terlalu awal. Bilangan kerusi pun sudah diputuskan. Kalaupun ada satu dua kerusi lagi, perundingan sudah sampai ke tahap hampir muktamad,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji yakin momentum jentera GRS yang ditunjukkan pada majlis pelancaran itu akan mampu membawa kemenangan kepada gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Beliau menyatakan keyakinannya terhadap semangat tinggi jentera setiap parti komponen GRS yang ditunjukkan pada majlis pelancaran tersebut sebagai gambaran jelas kekuatan gabungan itu dalam menghadapi saingan politik akan datang.
“Momentum yang kita lihat hari ini memang cukup bersemangat. Pastikan parti masing-masing bekerja untuk menang. Kita yakin dengan kemampuan GRS untuk berdepan pilihan raya ini dan insya-Allah sekali lagi diberi kemenangan,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri oleh presiden enam parti komponen GRS serta dihangatkan dengan kehadiran kira-kira 20,000 anggota jentera dan penyokong gabungan tersebut.
Hajiji berkata, jentera GRS sebenarnya sudah lama digerakkan di setiap cawangan dan bahagian seluruh negeri sebelum pelancaran rasmi yang diadakan hari ini.
“Ada bahagian yang sudah melancarkan jenteranya lebih awal, jadi pelancaran hari ini hanyalah sebagai acara rasmi,” katanya.