Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menolak sekeras-kerasnya dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menyalahgunakan kuasa dalam isu Sabah Forest Industries (SFI).
Menurut Nizam, tuduhan itu bukan sahaja berniat jahat, malah mencerminkan kejahilan undang-undang serta usaha terdesak untuk menabur fitnah menjelang Pilihan Raya Negeri.
“Untuk makluman umum, saman sivil bernilai RM1.4 bilion yang disebut Suhaimi adalah prosiding sivil yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dan bukan sabitan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh telah menegaskan bahawa dakwaan tersebut “bukan sahaja remeh dan menyusahkan, malah tidak berasas” kerana melibatkan litigasi yang sedang berlangsung antara pihak-pihak berkenaan.
“Kerajaan Negeri akan mengemukakan pembelaan menyeluruh dan yakin kebenaran akan terbukti apabila proses undang-undang selesai,” katanya.
Nizam turut menegaskan bahawa isu sebenar SFI berpunca daripada pentadbiran Parti Warisan pada tahun 2018.
“Hakikat yang cuba disembunyikan oleh Suhaimi dan sekutunya ialah bahawa kemelut sebenar SFI berpunca daripada pentadbiran Warisan pada 2018. Kegagalan dan kerugian SFI bukan disebabkan oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa GRS konsisten menyatakan bahawa SFI ialah sebuah syarikat swasta di mana Kerajaan Negeri hanya memiliki dua peratus saham.
“Semua urusan pembayaran gaji dan operasi syarikat tertakluk di bawah undang-undang buruh dan menjadi tanggungjawab majikan, bukannya Kerajaan Negeri,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Suhaimi hanyalah percubaan murahan untuk menakut-nakutkan rakyat serta mengalihkan perhatian daripada kegagalan UMNO dalam menjaga kepentingan rakyat Sabah selama ini.
“Politik fitnah tidak akan membina Sabah. Datuk Seri Hajiji Noor dan pentadbiran GRS kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti dan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.
Nizam yakin rakyat Sabah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini dan siapa yang sekadar menabur dusta demi kepentingan politik peribadi.


































