Mohamed Razali Razi
KOTA KINABALU: Kekuatan jentera pilihan raya bukan terletak pada keaktifan atau populariti semata-mata, sebaliknya bergantung kepada disiplin, strategi dan fokus terhadap matlamat besar untuk memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Darau.
Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pengukuhan Jentera Gagasan Rakyat Darau hari ini, sebagai langkah persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
“Pilihan raya lima tahun sekali. Kalau kita terlepas, kita kena tunggu lagi lima tahun. Adakah itu yang kita mahu? Jadi, fokus kepada matlamat besar. Bila kita satu hati, insya-Allah kemenangan akan jadi milik kita,” tegasnya.
Razali yang juga Setiausaha Agung Gagasan Rakyat, mengingatkan semua ahli dan penyokong agar tidak leka dengan imej keaktifan atau pujian semata-mata, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap jumlah undi sebenar yang boleh diperoleh di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kita dilihat sebagai parti paling aktif, betul. Tapi jangan syok sendiri, jangan minta puji. Di hujungnya belum tentu. Yang penting ialah kertas undi bertanda ‘X’ untuk GRS,” katanya.
Beliau menekankan keperluan jentera bergerak secara sistematik dengan mengenal pasti pengundi yang belum didekati dan melaksanakan kempen akar umbi secara menyeluruh.
“Malam-malam di kedai kopi bukan untuk cerita hal orang, tapi untuk cari undi. Rajin tidak menjamin kemenangan, tapi yang menjamin kemenangan ialah undi sebenar daripada 33,000 pengundi Darau,” jelasnya.
Razali turut menyeru jentera agar memberi keutamaan kepada arahan Pengarah Pilihan Raya Bahagian supaya setiap gerak kerja dilakukan secara tersusun dan berdisiplin.
“Kalau mau menang, satu hati, dekau atai. Semua kita tinggalkan, fokus GRS, GRS, GRS. Itulah yang kita bawa ke setiap pelosok kampung,” katanya.
Antara kawasan tumpuan yang disebut beliau termasuk Kampung Likas, Bangka-Bangka, Rampayan, Darau, Kalansanan, Warisan dan Kemberian yang dikenal pasti sebagai benteng kekuatan Gagasan Rakyat di Darau.
Beliau turut mengingatkan jentera supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah atau propaganda di media sosial, sebaliknya kekal aktif turun padang mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Jangan terpengaruh dengan TikTok, jangan terpengaruh dengan Facebook kerana yang betul adalah orang yang turun ke kampung, mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat,” tegasnya lagi.
Razali menegaskan bahawa kemenangan hanya akan tercapai melalui kekuatan akar umbi, keikhlasan dalam perjuangan, serta keberkatan daripada Allah SWT.
“Insya-Allah, kalau kita bersedia dengan keredaan dan rahmat Allah, insya-Allah Darau kita menang,” katanya.
































