Masiung (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Hajiji sambil diperhatikan oleh Dr. Joachim (tengah) dan Ruddy.
PITAS: Pitas bakal muncul sebagai bandar komersial baharu yang terpenting di pantai barat Sabah sebaik sahaja dua projek pekan baharu di daerah itu siap sepenuhnya menjelang tahun 2028.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, kedua-dua projek utama berkenaan terletak di Kampung Taka dan pekan baharu Pitas, hasil pembangunan bersama antara Kerajaan Negeri dan rakan strategik LPPB.
Berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Komersial Pekan Baharu di Kampung Taka yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor semalam, Masiung berkata, kedua-dua projek itu dilaksanakan di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan keseimbangan pembangunan bandar dan luar bandar.
“Projek pertama di pekan baharu Pitas yang mula dibangunkan sejak tahun 2023 dan kini hampir siap, dengan melibatkan pembinaan 68 unit kedai dua tingkat serta 14 lot industri tingkat bersama,” katanya.
Sementara itu, tambah beliau, projek baharu di Kampung Taka yang dilancarkan kelmarin pula merangkumi pembinaan rumah mampu milik dan kemudahan komersial di atas tanah seluas 37.60 ekar yang telah diwartakan sebagai tapak projek.
“Projek ini akan menyediakan sebanyak 320 unit rumah mampu milik, termasuk 274 unit rumah teres dua tingkat dan 52 unit rumah berkembar dua tingkat,” katanya.
Selain perumahan, LPPB turut akan membina 170 unit bangunan komersial, merangkumi 68 unit kedai dan pejabat, 64 unit kiosk, sebuah pasar raya, serta lapan unit ‘showroom’ berkembar.
“Kerja-kerja pembinaan bagi projek terbaharu di Kampung Taka dijadualkan bermula seawal tahun hadapan,” katanya.
Masiung menegaskan bahawa pelaksanaan kedua-dua projek itu bukan sahaja akan mempercepatkan pembangunan daerah berkenaan, malah melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan taraf hidup penduduk setempat.
“Apabila siap kelak, Pitas bukan lagi dikenali sebagai daerah pedalaman, tetapi akan muncul sebagai bandar komersial baharu yang strategik dan berdaya saing di pantai barat Sabah,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Pembantu Menteri Luar Bandar yang juga ADUN Pitas, Dato’ Sri Ruddy Awah.