Nizam Abu Bakar Titingan
TAWAU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengumuman mengenai penambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun hadapan sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terhadap nasib rakyat.
Beliau berkata, langkah itu menjadikan keseluruhan 50 unit Rumah Mesra SMJ bagi setiap DUN di seluruh Sabah, sekaligus memperkukuh komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan rakyat menikmati kediaman selesa dan mampu milik.
“Langkah ini membuktikan keprihatinan Kerajaan GRS terhadap rakyat, khususnya golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga dan masih bergelut dengan kos sara hidup serta kekangan tempat tinggal. Tambahan unit ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada anak muda, malah menjadi simbol keberkesanan dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan projek Rumah Mesra SMJ mencerminkan keberanian dan keikhlasan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan perumahan rakyat dilaksanakan secara menyeluruh dan inklusif di semua kawasan — sama ada bandar mahupun luar bandar.
Nizam turut memuji pendekatan Kerajaan Negeri yang menggabungkan kerjasama strategik antara Kerajaan dan sektor swasta, yang dilihat mempercepatkan pelaksanaan pembangunan sambil memastikan sumber kewangan negeri dapat difokuskan kepada inisiatif sosioekonomi lain yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor telah membuktikan bahawa agenda Sabah Maju Jaya bukan sekadar slogan, tetapi satu pelan tindakan yang dilaksanakan dengan konsisten serta berpaksikan keperluan sebenar rakyat,” jelasnya.
Beliau berkata, rakyat Sabah, khususnya golongan muda, perlu melihat inisiatif itu sebagai bukti jelas bahawa Kerajaan GRS bekerja dengan ikhlas dan berfokus kepada kesejahteraan rakyat, bukan sekadar berpolitik atau menabur janji.