Rafie menyampaikan hadiah kepada pemenang.
KENINGAU: Sekretariat Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg. Baginda, Ketua Kampung Kg. Binaong serta Pejabat Wakil Rakyat DUN Bingkor telah menganjurkan Karnival Sukaneka Ibu & Anak BMBR bersempena dengan BMBR Sports Carnival 2025 yang berlangsung di Padang Kg. Binaong bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.
Penganjuran acara sukaneka ini bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan, khususnya antara ibu dan anak, di samping memupuk semangat kesukanan serta kerjasama dalam suasana penuh keceriaan dan harmoni.
Sebanyak 10 kumpulan yang terdiri daripada peserta dewasa dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah telah menyertai pertandingan ini, melibatkan penyertaan daripada beberapa buah kampung sekitar DUN Bingkor.
Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Sabah Maju Jaya melalui agenda Bingkor Membangun Bersama Rakyat (BMBR) yang memberi penekanan kepada kesejahteraan masyarakat serta pembangunan sahsiah dan belia.
Majlis penyampaian hadiah dan trofi penghargaan telah disempurnakan oleh Rafie Robert, Ketua Pemuda GRS Keningau merangkap Pengerusi Penganjur Karnival Sukan BMBR.
Dengan penganjuran aktiviti seumpama ini, pihak sekretariat yakin hubungan silaturahim dalam komuniti dapat diperkukuh, di samping memberi ruang kepada ibu dan anak untuk bergembira sambil bersaing secara sihat.
































