Azmi Abu Kassim menerima tabik hormat daripada lintas hormat aset-aset Pasukan Polis Marin pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pasukan Polis Marin Ke-78 di Markas Operasi, Pasukan Polis Marin Wilayah (1) Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini.
KLANG: Polis bersedia meningkatkan kawalan keselamatan dengan menambah kekuatan anggota dan pegawai ketika lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan menilai tahap keselamatan negara sehingga sidang kemuncak itu selesai.
Kita akan menggerakkan sekurang-kurangnya 10,400 pegawai dan anggota bagi memastikan Sidang Kemuncak ASEAN dan lawatan Presiden AS berlangsung dengan baik.
Malaysia akan menjadi tumpuan apabila menerima tetamu daripada 34 negara, jadi sudah tentu polis khususnya KDNKA diberi tanggungjawab untuk melihat kepada persediaan dan memastikan keselamatan dan ketenteraman awam diberi perhatian,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Ulang Tahun Pasukan Polis Marin Ke-78, hari ini.
Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dilapor memaklumkan seramai 10,492 pegawai dan anggota polis bersama 3,000 daripada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) ditugaskan sempena Sidang Kemuncak ASEAN nanti.
Rabu lalu, Utusan Malaysia melaporkan Malaysia akan menggunakan sebaiknya peluang bertemu Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 sebagai platform penting bagi memastikan ruang dialog berkaitan Gaza terus terbuka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ruang yang ada akan digunakan sebaiknya untuk menyuarakan keadilan dan keamanan dilonjak ke peringkat dan pentas tertinggi.
Selain itu, Azmi berkata, pihaknya turut bersedia memastikan jaminan keselamatan dan ketenteraman awam sekiranya terdapat perhimpunan-perhimpunan pada masa akan datang terutama berkaitan bantahan terhadap Israel berhubung keganasan di Gaza.
“(Penganjuran) Perhimpunan adalah tertakluk di bawah Akta Perhimpunan Aman dan seperti mana berlaku semalam, polis Kuala Lumpur mengambil tindakan bersesuaian untuk memastikan ia berjalan dengan baik.
“Namun, sekiranya ia berlaku pada masa akan datang sehingga sebelum Sidang Kemuncak ASEAN, polis terus memberikan komitmen memastikan perhimpunan berjalan dengan tertib mengikut lunas undang-undang.






























