Armizan Mohd. Ali
KUALA LUMPUR: Industri fesyen negara dijangka terus berkembang apabila kajian Shopperboard menganggarkan penembusan e-dagang segmen itu mencecah 19.2 peratus dengan nilai jualan sekitar AS$ 5.24 bilion (RM24.6 bilion) pada 2025.
Menurut Utusan Malaysia, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menjangkakan industri tekstil dan pakaian bernilai kira-kira AS$3.5 bilion setahun dan bakal meningkat kepada AS$4.47 bilion menjelang 2030.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, angka tersebut jelas menunjukkan potensi besar fesyen tempatan untuk menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan industri fesyen dan gaya hidup tempatan berkembang sebagai salah satu sektor penting yang mampu memberi impak positif kepada ekonomi,” katanya selepas merasmikan My Gaya Month (MGM) 2025 di Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Armizan, penganjuran MGM 2024 sebelum ini berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM1.1 juta, iaitu peningkatan 39.16 peratus berbanding RM802,254.30 pada 2023.
“Dengan potensi pasaran mencecah berbilion ringgit seperti ditunjukkan dalam kajian terkini, MGM diyakini mampu menjadi pemangkin untuk mengukuhkan ekosistem fesyen tempatan dan melahirkan lebih ramai usahawan baharu,” katanya.
MGM 2025 yang berlangsung sepanjang Oktober di Pavilion Bukit Jalil merupakan kerjasama KPDN dengan Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia (MBDA) di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) 2025.
Antara pengisian program termasuk reruai jualan, forum industri fesyen, bengkel penataan, pelancaran produk, sesi ramah mesra bersama pereka dan selebriti serta pertunjukan fesyen membabitkan 20 jenama tempatan dan 10 institusi pengajian tinggi.