TOKYO: Majlis bandar raya Toyoake di wilayah Aichi hari ini meluluskan satu ordinan yang mengesyorkan penduduk mengehadkan penggunaan telefon pintar, konsol permainan video serta peranti digital lain kepada maksimum dua jam sehari di luar waktu kerja dan sekolah.
Menurut Utusan Malaysia, peraturan itu bagaimanapun tidak menetapkan sebarang hukuman bagi mereka yang melanggarnya.
Langkah berkenaan, yang dipercayai pertama seumpamanya di Jepun, dibuat susulan kebimbangan terhadap kesan buruk penggunaan teknologi secara berlebihan.
Ordinan tersebut dijadualkan berkuat kuasa mulai 1 Oktober ini.
Sambil mengakui keperluan telefon pintar, tablet dan peranti digital lain, ordinan itu memberi amaran penggunaan penstriman video secara berlebihan boleh membawa kesan buruk, termasuk kurang tidur serta pengurangan interaksi keluarga.
Ordinan itu menyeru murid sekolah rendah supaya tidak menggunakan telefon pintar selepas pukul 9 malam, manakala pelajar sekolah menengah rendah dan ke atas pula disaran berhenti selepas pukul 10 malam.
Ia menyatakan ‘tidur yang mencukupi penting untuk pertumbuhan fizikal dan mental’ bagi semua kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
Ordinan itu juga menggesa penjaga menetapkan peraturan di rumah mengenai penggunaan peranti, dengan pihak bandar berjanji untuk mewujudkan sistem yang membolehkan ibu bapa mendapatkan khidmat rundingan.