Gambar kenangan Allahyarham Muhammad Hakif Dani Muhammad Nakman (kanan) bersama Allahyarham Mohamad Ikram Pakarudin Yusof.
TUMPAT: Dua sahabat baik maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kampung Wakaf King Berangan di sini, malam kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, sebelum kejadian pada pukul 10.15 malam itu, mangsa, Muhammad Hakif Dani Muhammad Nakman, 15, yang merupakan pembonceng memuat naik gambar kubur dengan status ‘zaman sekarang mati tak kira umur, tempat dan masa’ dalam media sosial.
Mangsa yang cedera di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Mohamad Ikram Pakarudin Yusof, 15, yang merupakan penunggang motosikal meninggal dunia di Hospital Tumpat.
Muhammad Nakman Mat Ali, 46, iaitu bapa kepada Muhammad Hakif Dani berkata, dia mengetahui kemalangan itu selepas rakan anaknya datang ke rumah di Kampung Geting, dekat sini memaklumkan anaknya terlibat kemalangan.
“Saya terus ke lokasi kejadian tetapi jenazah arwah sudah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat. Sebaik sahaja sampai di Hospital Tumpat, jenazah anak saya sudah terbujur kaku sedangkan beberapa jam lalu saya makan malam bersamanya di rumah,” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Tumpat, semalam.
Menurutnya, dia sempat makan malam dengan anaknya selepas Maghrib sebelum anaknya itu keluar ke Kota Bharu bersama rakannya itu.
“Dia ada minta izin nak ke Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu kerana ada festival.
“Saya beritahu tak payah lah keluar malam-malam, lepas itu saya terlelap dan tidak sedar anak kedua daripada enam beradik ini sudah keluar,” katanya.
Menurutnya, anaknya itu keluar membonceng bersama rakannya itu merupakan sahabat baik dan bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting.
































