Armizan (kiri) sempat memegang Si Mogwai.
PAPAR: Hati sayu meninggalkan rumah serta harta benda, namun bagi Surirumah, Suzie Liana Jonie, 43, dari Kg Sabok Kinarut, keselamatan keluarga paling utama termasuk kucing, Si Mogwai dan Si Nakel
“Dari Sabtu lagi hujan lebat tidak berhenti cuma air tidak masuk dalam rumah. Tapi kelmarin (Isnin) air hujan bertembung dengan air pasang jadi banjir deras masuk dalam rumah tinggi paras paha.
“Askar bilang jangan stay lagi, tengah malam ini air dijangka naik lagi. Jadi, saya dan keluarga segera ambil barang-barang penting dan ikut lori Askar pindah ke PPS sekali sama kucing-kucing ni masuk dalam kotak,” ujarnya ketika ditemui media di PPS Dewan Lok Kawi Height Kinarut, hari ini.
Berlindung dalam ruang khemah yang sama, anak tunggalnya, Ruzaimie Suhaimin, 11, kelihatan jarang berenggang dengan Si Mogwai dan Si Nakel.
Malah, aksi manja haiwan peliharaan itu mencuri perhatian Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali ketika mengadakan lawatan ke PPS terbabit.
Keluarga Suzie merupakan salah satu daripada 24 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 77 ahli keluarga yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Lok Kawi Height yang diaktifkan sejak semalam (15 September) ekoran hujan lebat yang menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Sabah.
Sesungguhnya, bencana yang melanda alam setidaknya menitip rasa kasih sayang dan menghargai nyawa bukan sahaja sesama manusia tetapi juga haiwan.
































