KOTA KINABALU: Hujan tanpa henti sejak 8 September lalu telah mengakibatkan bencana banjir dan tanah runtuh di Sabah, memaksa pembukaan 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah untuk menempatkan 220 keluarga melibatkan seramai 863 mangsa.
Setakat ini, lapan daerah dikenal pasti terkesan dengan bencana tersebut, manakala enam daripadanya telah mengaktifkan PPS bagi menampung mangsa yang dipindahkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Noor hari ini meninjau sendiri beberapa lokasi kejadian termasuk tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran bangunan Jesselton Quay, rumah yang musnah di Kampung Sarapung, Penampang serta dua PPS di Putatan iaitu PPR Sri Keramat dan PPS Sri Serigai.
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, empat lokasi tanah runtuh yang telah meragut nyawa dilaporkan di Kampung Sarapung (Penampang), Marahang (Papar), Kampung Mook (Penampang) dan Cenderakasih (Kota Kinabalu).
“Kerajaan Negeri melalui JPBN sedang mempergiatkan kerja menyelamat mangsa yang terperangkap akibat tanah runtuh. Terdapat juga laluan utama jalan raya yang terjejas dan memerlukan penelitian serta tindakan segera oleh Jabatan Kerja Raya,” jelas kenyataan itu.
Kerajaan Negeri turut menerima sokongan daripada Kerajaan Pusat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan menyalurkan bantuan kewangan, penyediaan jambatan Bailey serta bentuk bantuan lain yang diperlukan.
Bagi meringankan beban mangsa, Kerajaan akan memberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) dan berpindah ke PPS.
Selain itu, waris mangsa yang terkorban akibat bencana akan menerima Bantuan Wang Ihsan Kematian sebanyak RM10,000. Pihak Kerajaan juga akan menyalurkan bakul makanan kepada semua penduduk yang terjejas.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan bersama agensi-agensi berkaitan kini giat menjalankan pemantauan, penyaluran bantuan dan koordinasi logistik bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa terus terjamin.
“Semua agensi penyelamat dan tindak balas di bawah JPBN Sabah sedang berusaha sepenuhnya dalam menangani bencana alam yang sedang melanda negeri ketika ini,” menurut kenyataan itu lagi.
































