KOTA KINABALU: Dua buah rumah mengalami kerosakan manakala dua keluarga terpaksa dipindahkan selepas beberapa kejadian tanah runtuh dilaporkan di Kampung Kopungit di sini sejak semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 8.12 pagi tadi.
“Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira empat kilometer dari balai, dengan ketibaan jentera pada jam 8.18 pagi,” katanya dalam kenyataan.

Menurut laporan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), sebanyak tujuh runtuhan tanah berlaku sejak semalam di kawasan berkenaan.
Pegawai dari Jabatan Mineral dan Geosains Sabah yang membuat pemeriksaan di lokasi mendapati struktur tanah di kawasan itu tidak stabil.
“Sekiranya hujan berterusan, kawasan ini berisiko tinggi untuk berlaku runtuhan susulan yang boleh mengancam keselamatan penduduk,” katanya.

Berikutan itu, pasukan bomba bersama agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Mineral dan Geosains Sabah telah mengarahkan dua keluarga terbabit berpindah ke Balai Raya Kampung Kopungit sebagai langkah keselamatan.
Setakat ini tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap.
Pemantauan berterusan akan dijalankan oleh pasukan bomba, dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Operasi di tempat kejadian diketuai oleh PBK II Masri Gari.
































