Ellron bersama Ernawaty merakamkan gambar kenangan selepas perasmian.
SOOK: Kerajaan Negeri terus memberi keutamaan kepada pembangunan pendidikan digital di kawasan luar bandar agar murid dan guru tidak tercicir dalam arus teknologi yang kian pesat berkembang.
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Sook, Datuk Ellron Angin berkata, inisiatif ini dizahirkan melalui penyerahan enam unit Smart TV kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Kalampun sebagai sebahagian daripada peruntukan RM10 juta yang disalurkan ke sekolah-sekolah di seluruh negeri.
“Langkah ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan sekolah luar bandar turut menikmati kemudahan pendidikan digital, sekali gus menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif,” katanya selepas merasmikan Arena Juara Petanque & Jalinan Harmoni Komuniti di SK Kalampun, kelmarin.
Menurut Ellron, teknologi seperti Smart TV diyakini mampu membantu guru menyampaikan ilmu dengan lebih berkesan, sementara murid mendapat pengalaman pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan mudah difahami.
“Saya berharap usaha ini menjadi pemangkin semangat belajar anak-anak kita. Pada masa sama, ia dapat mengeratkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti kerana kejayaan pendidikan memerlukan sokongan semua pihak,” tambahnya.
Ellron turut meninjau bilik darjah bagi melihat pemasangan kemudahan itu, selain melawat gelanggang bola tampar dan prasarana asas sekolah.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa pembangunan pendidikan dan sukan perlu digerakkan seiring bagi melahirkan generasi bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif, berdisiplin dan mempunyai semangat kesukanan tinggi.
Majlis perasmian turut diserikan dengan penglibatan warga sekolah serta komuniti setempat yang bersama-sama meraikan pembukaan rasmi Arena Juara Petanque, simbol perpaduan dan keharmonian masyarakat di SK Kalampun.
Turut hadir, Guru Besar SK Kalampun, Ernawaty Jamil bersama guru-guru serta ibu bapa pelajar.































