Fahmi menyampaikan replika sumbangan HAWANA.
TAWAU: Pengamal media veteren, Ismail Lamo, 67, merupakan penerima sumbangan melalui inisiatif Tabung Kasih@HAWANA ke-29 di Sabah.
Sumbangan disampaikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di kediaman Ismail di Taman Victoria, Tawau yang turut disertai oleh Ketua Pengarang BERNAMA, Encik Arul Rajoo Durar Raj.
Menurut Fahmi, secara keseluruhannya Ismail yang berkhidmat secara sambilan dengan BERNAMA sejak tahun 1979, merupakan penerima yang ke-494 di bawah inisiatif yang diperkenalkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
“Difahamkan beliau masih menghidap penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan kencing manis dan perlu menerima rawatan susulan di Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu setiap enam bulan.
“Beliau yang berkhidmat hampir lima dekad dalam dunia kewartawanan bagi saya sesuatu yang membanggakan dan boleh menjadi rujukan kepada pelapis yang baru berkecimpung dengan dunia kewartawanan.
“Diharapkan beliau terus diberikan kesihatan yang baik dan berharap agar terus berbakti dalam dunia kewartawanan dengan berkongsi ilmu kepada wartawan lain” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan kepada Ismail.
Fahmi menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan sebagai tanda penghargaan atas jasa serta sumbangan Ismail.
Selain itu, Fahmi turut memaklumkan beberapa perkara perlu diteliti pada masa depan bentuk bantuan lain yang boleh disampaikan.
“Saya dapati aspek kesihatan, keselamatan, kebajikan bagi para petugas bidang kewartawanan ini sangat penting selain daripada bantuan yang boleh sedia ada,” jelas beliau.
Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi BERNAMA sebagai simbol keprihatinan Kerajaan MADANI dalam mengetengahkan nilai ihsan, empati dan penghargaan terhadap pengamal media.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa.
































