WASHINGTON: Industri pelancongan global berdepan tekanan baharu apabila Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pelaksanaan yuran tambahan sebanyak AS$250 (RM1,056) bagi setiap permohonan visa bermula 1 Oktober ini.
Menurut Utusan Malaysia, langkah itu menjadikan jumlah kos permohonan visa meningkat kepada AS$442 (RM1,867), antara yang tertinggi di dunia sekali gus menambah beban kepada pelancong dari negara yang tidak menikmati kemudahan pengecualian visa seperti Mexico, Argentina, India, Brazil dan China.
Persatuan Pelancongan AS berkata, dasar terbaharu pentadbiran Presiden Donald Trump itu bakal menghalang kemasukan lebih ramai pelancong asing, sekali gus menjejaskan pemulihan industri yang masih bergelut untuk bangkit daripada kesan pandemik.
Menurut data rasmi kerajaan AS, ketibaan pelancong antarabangsa pada Julai lalu merosot 3.1 peratus kepada 19.2 juta orang berbanding tempoh sama tahun lalu dan penurunan itu merupakan bulan kelima berturut-turut tahun ini dan menafikan jangkaan jumlah pelancong tahun 2025 akan mengatasi rekod pra-pandemik sebanyak 79.4 juta orang.
Majlis Perjalanan dan Pelancongan Dunia (WTTC) menjangkakan perbelanjaan pelancong antarabangsa di AS merosot kepada AS$169 bilion (RM713.8 bilion) tahun ini, berbanding AS$181 bilion (RM764.5 bilion) pada 2024.
Tindakan mengenakan yuran tambahan itu mengukuhkan persepsi negatif terhadap AS di bawah pentadbiran Trump, yang sebelum ini turut memperketat dasar imigresen, mengurangkan bantuan luar, mengenakan tarif meluas, dan merancang syarat visa yang lebih ketat untuk pelajar, pengamal media serta peserta program pertukaran budaya.
Oxford Economics menerusi Tourism Economics pada Disember 2024 menjangka ketibaan pelancong antarabangsa ke AS meningkat lebih 10 peratus tahun ini namun, angka sebenar dijangka merosot sekitar tiga peratus.
Pengenaan yuran baharu itu dijangka memberi kesan paling besar kepada negara-negara Amerika Tengah dan Selatan yang sebelum ini menjadi penyumbang utama kebangkitan sektor pelancongan AS di mana sehingga Mei lalu, ketibaan pelancong dari Mexico ke AS meningkat hampir 14 peratus, manakala dari Argentina melonjak 20 peratus dan Brazil 4.6 peratus.
Sebaliknya, kemasukan dari China kekal lemah dengan ketibaan pada Julai masih 53 peratus lebih rendah berbanding 2019, manakala dari India susut 2.4 peratus tahun ini, termasuk kejatuhan hampir 18 peratus dalam kalangan pelajar.


































