BEIJING: Seorang bapa di China dikecam selepas didakwa meninggalkan anak lelaki yang masih kecil di lebuh raya sebagai hukuman kerana bergaduh dengan abangnya.
Menurut Utusan Malaysia, insiden itu mendapat perhatian selepas seorang penunggang motosikal yang juga pempengaruh media sosial memuat naik rakaman video kanak-kanak berusia sekitar tujuh atau lapan tahun itu ke internet.
Video berkenaan memaparkan budak lelaki tersebut berdiri sendirian di tepi Lebuh Raya Kebangsaan No. 219 di Wilayah Autonomi Xinjiang, barat laut China.
Menurut Southern Metropolis News, kanak-kanak itu dilihat cuba menahan kenderaan untuk ditumpang.
Apabila pempengaruh itu bertanya kepada budak lelaki terbabit mengapa dia terpisah daripada keluarganya, kanak-kanak itu menjawab ditinggalkan oleh ayahnya seorang diri.
“Abang saya berkata sesuatu yang buruk tentang saya lalu saya memukulnya. Ayah saya marah dan suruh saya keluar daripada kereta,” kata budak itu.
Pempengaruh itu kemudian menghubung bapanya dan bertanya sama ada dia sedar anaknya ditinggalkan sendirian.
“Saya tahu. Ibunya sedang dalam perjalanan untuk menjemputnya,” jawab bapa kanak-kanak itu, menurut pempengaruh @tanshaoxiaofeiyang di media sosial.
Kebetulan ketika itu, sebuah kenderaan Mahkamah Turpan di Xinjiang sedang membuat rondaan di lebuh raya dan kanak-kanak terbabit diserahkan kepada polis.
Bapa kanak-kanak itu, dikenali sebagai Wang, kemudian memohon maaf melalui media sosial dan turut mempertahankan perbuatannya.
Dia mendakwa hanya memandu sejauh 1.5 kilometer sebelum menghantar isterinya untuk mengambil semula anaknya itu.
Kanak-kanak tersebut didakwa hanya berjalan selama kira-kira dua minit sebelum ditemui pempengaruh itu.
“Anak bongsu saya sering bergaduh dengan abangnya. Pada hari kejadian, saya sudah memberi dua kali amaran lisan tetapi dia masih juga memukul abangnya. Saya terlalu marah dan hanya mahu menakutkan dia,” katanya.
































