BEIJING: Seorang remaja lelaki berusia 19 tahun dari wilayah Guangdong, China, terselamat selepas melalui detik hitam selama empat bulan apabila diperdaya dan dijual sebagai hamba kepada sindiket penipuan di Myanmar oleh kekasihnya sendiri yang berusia 17 tahun.
Menurut Utusan Malaysia, media tempatan melaporkan, mangsa yang berasal dari bandar Zhanjiang itu mula mengenali remaja perempuan berkenaan di sebuah pusat permainan biliard di mana gadis terbabit sering berpakaian menjolok mata dan menggunakan beg tangan tiruan berjenama bagi menampilkan imej mewah.
Mangsa yang tertarik dengan penampilan tersebut mempercayai kata-kata manis gadis itu yang mendakwa keluarganya memiliki perniagaan besar di Asia Tenggara, walaupun tanpa bukti jelas.
Gadis itu berulang kali memujuk mangsa untuk mengikutinya ke negara jiran atas alasan kononnya terdapat peluang pekerjaan lumayan dan pada Februari lalu, pasangan itu berangkat secara rahsia ke Thailand tanpa pengetahuan keluarga mangsa.
Keluarganya hanya mengetahui keberadaannya selepas dimaklumkan rakan-rakan mangsa namun, ketika dalam perjalanan pulang dan menghampiri sempadan Thailand-Myanmar, gadis itu memberi alasan untuk “menjemput seseorang” sebelum meninggalkan mangsa keseorangan.
Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki bersenjata datang, merampas semua dokumen dan telefon bimbitnya sebelum membawanya ke sebuah kem rahsia.
Mangsa kemudiannya dikurung di sebuah kem terpencil, kepalanya dicukur, dan dipaksa duduk di hadapan komputer selama 16 hingga 20 jam sehari untuk menjalankan aktiviti penipuan dalam talian terhadap rakyat China sendiri.
Jika gagal mencapai sasaran harian, mangsa dipukul dengan besi di belakang serta kepalanya dan akibat penderaan berterusan, mangsa kehilangan lebih 10 kilogram berat badan, mengalami kekurangan makanan, dan kerosakan kekal pada pendengarannya.
Disebabkan ketidakupayaannya menipu orang lain, sindiket itu akhirnya menghubungi keluarganya untuk menuntut wang tebusan dan pada Jun lalu, keluarga mangsa berjaya mengumpulkan wang tebusan sebanyak 350,000 yuan (RM206,000) untuk membebaskannya.
Bagaimanapun, mangsa kini hidup dalam ketakutan dan trauma, mengalami paranoia dan mimpi ngeri tentang penderitaan yang dialaminya sepanjang empat bulan dikurung.
Sementara itu, gadis yang mengkhianatinya ditahan sejurus pulang ke China selepas bercuti selama 10 hari di Thailand dan beliau kini berdepan tuduhan bersubahat dengan sindiket penipuan Myanmar dalam penculikan tersebut.
“Dia baru 17 tahun. Siapa sangka dia sanggup melakukan perbuatan sekejam ini? Tidak masuk akal seorang gadis seusia itu boleh bertindak sejahat ini,” kata kakak mangsa kepada media tempatan.
































