Nga Kor Ming
KUALA LUMPUR: Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 sah ditangguhkan ke persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menurut Utusan Malaysia, dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akur dengan keputusan Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk pembacaan kali kedua tersebut disambung pada persidangan akan datang.
Mencelah ketika Kor Ming sedang membentangkan RUU PSB, Johari berkata, ketika usul dikemukakan, menteri itu tidak menyebut bahawa rang undang-undang berkenaan hendak dihabiskan hari ini.
Beliau justeru terikat dengan peraturan mesyuarat bahawa persidangan harus ditangguhkan pada pukul 5.30 petang, meminta Kor Ming untuk menyambung pembentangan pada masa akan datang.
“Tadi dalam usul yang dikemukakan Menteri di bawah (Peraturan Mesyuarat) 12 (1), tidak disebut bahawa rang undang-undang hendaklah dihabiskan (hari ini) jadi saya terikat dengan peraturan mesyuarat (tamat pukul) 5.30 petang.
“Jadi, boleh Menteri sambung dalam persidangan akan datang?,” soalnya di Dewan Rakyat hari ini.
Menjawab celahan itu, Kor Ming berkata, beliau sebagai seorang sentiasa menghormati kemuliaan dewan akur dan hormat dengan permintaan tersebut.
“Terima kasih kepada Tan Sri Speaker, saya sebagai seorang yang sentiasa menghormati dewan yang mulia ini akur dan hormat di mana kita akan teruskan pada sesi akan datang,” katanya.


































